Sunday, June 28, 2009

sepanyol akan bangkit..


Kami mahu harungi 35 lagi perlawanan tanpa kalah: Torres

JOHANNESBURG: Penyerang Sepanyol, Fernando Torres memberi amaran kepada Afrika Selatan untuk bersedia berdepan cabaran sengit di perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Konfederasi hari ini.

"Kami harus kembali ke permulaan dan mula mencatatkan kemenangan semula bersama," kata Torres selepas kekalahan mengejut kepada Amerika Syarikat, Rabu lalu.


Juara Eropah, Sepanyol mara ke separuh akhir dengan tiga kemenangan berturut-turut di peringkat kumpulan dan tiada sesiapa menjangka 'La Furia Roja' dikejutkan pada perlawanan yang berlangsung di bandaraya Bloemfontein.


Tetapi bintang Liverpool, Torres dan rakan sepasukan melihat rekod dunia 35 perlawanan tanpa kalah lebur ketika Amerika Syarikat menjaringkan gol di setiap babak selain memastikan gawang tidak ditembusi.

"Saya mahu melihat kami mengharungi 35 lagi perlawanan tanpa kalah. Ia adalah menakjubkan, terutama dengan Piala Dunia semakin hampir," kata penjaring terbanyak bersama di Piala Konfederasi dengan tiga gol itu.

Torres menerima hakikat skuad Afrika Selatan yang tewas 2-0 kepada Sepanyol hujung minggu lalu, akan berusaha untuk mengubah nasib mereka di Rustenburg Royal Bafokeng Sports Palace selepas mempamerkan aksi melawan ketika tewas 1-0 kepada Brazil di separuh akhir.

"Kami tahu ia akan menjadi lebih sukar untuk menang. Lawan kami akan lebih mengenali kami dan mempunyai keinginan untuk menewaskan kami. Menewaskan Sepanyol kini adalah seperti menewaskan Brazil atau Argentina sebelum ini," katanya lagi. -